1

Misteri Kereta Putih

2

Kematian Kali Ketiga

3

Sahabat Sejati

4

Ketika Mentari Hilang Di Kaki Langit ...

5

Misteri Permaidani

6

Nasi Sudah Menjadi Bubur

7

Jodoh

8

Berakhirnya Satu Dendam

9

Kasih Ibu

10

Memori Rindu


Misteri Kereta Putih

Fahmi telah lama bekerja sebagai seorang penjaga sekolah. Sudah lima tahun dia bekerja di Sekolah Menengah Kencana. Dia seorang yang berani.
"Fahmi, kau pernah nampak hantu? Biasanya, ia menjelma pada waktu malam," usik kawan rapatnya,Shahril.
Inilah yang selalu diperkatakan oleh kawan-kawannya. Tetapi bagi Fahmi ini semua hanya cerita untuk menakutkannya.
"Aku tahu kau semua hendak menakutkan akukan? Sorrylah. Aku tak takut," balas Fahmi.
Pada suatu hari, Fahmi diberitahu bahawa pihak sekolahnya akan mengadakan majlis makan malam pada hari Sabtu hingga pukul 9 malam. Dia sanggup bertugas hingga pukul 11 malam.
Apabila tiba hari majlis itu diadakan, Shahril memberitahu Fahmi yang dia akan mengambilnya selepas Fahmi bertugas pada malam itu.
"Fahmi, awak betul boleh jaga hingga pukul 11 malam?" tanya guru besar sekolah itu.
"Boleh Cikgu. Tidak ada masalah. Malam ini, kawan saya akan jemput saya pulang dengan keretanya," jawab Fahmi.
"Baiklah. Selepas semua guru keluar, awak bolehlah tutup dan kunci pagar sekolah ini," kata guru besar itu.
Selepas pukul 9 malam kebanyakan guru-guru terus pulang ke rumah tetapi ada juga yang berbual-bual atau menghabiskan kerja sekolah masing-masing. Pada pukul 11 malam, Fahmi ke bilik guru-guru untuk memeriksa jika ada guru yang masih ada di situ.
"Semuanya sudah pulang. Baik aku kunci pagar ini," fikir Fahmi.
Fahmi pun menunggu Shahril di depan pagar sekolah.
"Mana pula Shahril ni? Lambatnya," bisik hati Fahmi sambil melihat jamnya yang menunjukkan pukul 11.40 malam "Vroom," kedengaran bunyi kereta.
"Assalamualaikum, Shahril. Terima kasihlah kerana sudi mengambil aku pulang," kata Fahmi.
"Wa'alaikummussalam. Sama-samalah. Aku dah janji, bukan? Dah, cepat sikit. Aku cuma ada 30 minit untuk menghantar kau pulang," jawab Shahril.
"Eh! Bukankah warna kereta Shahril merah? Mengapa putih pula? Muka Shahril pucat lesi. Apa halnya ni?" bisik hati Fahmi. Ketika dalam perjalanan pulang, mereka melalui suatu tempat yang telah berlaku suatu kemalangan. Fahmi cuba melihat apa yang telah berlaku tetapi kereta Shahril meluncur laju. Tiba di rumah, Fahmi mengucapkan terima kasih sekali lagi. Ketika itulah, apabila dia bersalaman, dia dapat merasakan bahawa tangan Shahril itu sejuk sekali. Fahmi terus ke pintu rumahnya. Fahmi cuba melihat kereta Shahril yang sepatutnya mempunyai lampu isyarat. Aneh. Tiada sebuah kereta pun di jalan raya itu. Apabila Fahmi memasuki rumahnya, isterinya memberitahu Fahmi bahawa Shahril telah meninggal dunia.
"Dia terbunuh dalam kemalangan jalan raya," kata isterinya.
"Innalillahi-Wainnalillahi-Raji'un. Dia tadi baru saja hantar saya pulang," kata Fahmi. "Tetapi, dia meninggal dunia pada pukul 10 malam. Macam mana dia boleh hantar awak balik pada pukul 11 lebih?" tanya isterinya. Fahmi kebingungan.


Kematian Kali Ketiga

Sepanjang hidupnya, berjudi, minum arak, melakukan jenayah dan pelbagai perkara haram sudah menjadi kebiasaan sehariannya. Sememangnya perbuatan-perbuatan sedemikian adalah antara yang dilarang oleh Allah S.W.T dan hanya mendatangkan dosa pada diri seseorang Muslim. Begitulah kehidupan seharian Azam.Tiada siapa yang berani menegurnya. Sumber hasilnya ialah dengan memeras ugut peniaga-peniaga di pasar.
Pada suatu hari Azam didapati menghidap penyakit leukimia. Dia mendapatkan rawatan secara tradisional. Namun penyakitnya masih belum boleh disembuhkan lalu dia dihantar ke hospital Muhammadiyah untuk mendapatkan rawatan dari seorang pakar. Tetapi keadaan penyakitnya semakin teruk.
Haji Ahmad Ridhwan telah lama bertugas di hospital sebagai pembimbing pesakit-pesakit yang sedang mengalami sakaratul maut. Pelbagai pengalaman yang telah dilalui olehnya dalam menghadapi karenah para pesakit-pesakit terutama yang sedang nazak.
Setelah Azam dimasukkan di hospital, Haji Ahmad ditugaskan memberikan bimbingan agama Islam kepadanya . Pada suatu hari, beliau menghampiri Azam yang kelihatan pucat dan lemah dan sedang terlantar di atas katil. Haji Ahmad disambut dengan sikap Azam yang kurang sopan. Terdapat pelbagai gambar tatu memenuhi tubuh Azam. Setelah memberi salam dan memperkenalkan dirinya, beliau terus mula memberikan bimbingan agama Islam kepada Azam.
Dengan tidak disangka, tiba-tiba Azam menengking, “Sudah! Awak ni siapa?, Saudara bukan, sahabat jauh sekali, berani awak nasihat saya tentang agama, ya!”.
Haji Ahmad sangat terkejut menerima reaksi sedemikian, namun dia hanya bersabar dan beristighfar di dalam hatinya. Memandangkan kehadirannya tidak disenangi oleh Azam, dia beredar dan meminta maaf kepada Azam.
Setelah seminggu, Azam tidak boleh ditolong lagi kerana penyakitnya sudah mencapai tahap sangat parah. Peluang untuk sembuh amatlah tipis. Azam akhirnya menghadapi sakaratul maut. Haji Ahmad dan ahli keluarga Azam mendampinginya semasa dia dalam keadaan nazak. Mereka mengajarnya beristighfar namun ia tidak dapat mengucapkannya. Azam hanya mengerang menahan kesakitan dan kesengsaraan sambil membeliak-beliakkan matanya.
Meskipun orang-orang yang ada di sekelilingnya berusaha mengajarnya mengucap namun Azam tetap gagal. Setelah beberapa minit, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Haji Ahmad bersyukur dengan berakhirnya penderitaan yang dilalui oleh Azam. Beliau menutup mayat Azam dengan kain putih. Setelah setengah jam menunggu ketibaan ambulans untuk dibawa pulang, tiba-tiba Haji Ahmad terlihat ada sesuatu yang bergerak di bawah kain putih itu. Beliau menghampiri mayat itu, lalu menyelak kain putih itu. Beliau dapati tubuh Azam bernafas kembali dalam keadaannya menghadapi sakaratul maut pertama kali tadi. Orang di sekeliling berusaha untuk mengajar Azam mengucap dua kali kalimah syahadah namun masih tidak berjaya. Setelah beberapa minit Azam menghembuskan nafasnya yang terakhir buat kali kedua.
Orang-orang di sekeliling yang amat terkejut hanya dapat berdoa buat Azam. Selang beberapa minit kemudian kejadian yang sama berlaku lagi. Setelah kali ketiga menghembuskan nafasnya yang terakhir, barulah Azam disahkan telah kembali ke rahmatullah. Begitulah keadaan seseorang yang banyak melakukan kemungkaran semasa hayatnya.


Sahabat Sejati

Ketika aku sedang bersendirian di rumah di waktu senja, aku terkenangkan nasib malang yang menimpa sahabatku. Sufina dan aku sudah berkawan lama sejak di bangku sekolah lagi. Sufina ialah seorang anak yatim piatu. Ibu bapanya meninggal ketika dia berumur empat tahun kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Semenjak itu nenek dan datuknya yang menjaganya. Namun, sebelum sempat dia mendapat belaian dan kasih sayang seorang ibu, neneknya telah terlebih dahulu menyambut seruan Illahi. Sekarang tinggallah dia di bawah jagaan datuknya yang amat dikasihi.
Sebagai seorang sahabat, aku selalu memberi dorongan supaya dia cekalkan hati setiap kali dia dilanda masalah. Sufina selalu bertanya mengapa hidupnya tidak seperti remaja yang lain, tidak bermasalah dan ceria selalu. Kadang kala dia menyesal dengan suratan hidupnya. Sufina pernah menyatakan hasratnya untuk berhenti sekolah kerana datuknya sudah tidak larat bekerja dan akhir-akhir ini datuknya sering jatuh sakit. Akibatnya, datuknya terpaksa berhenti kerja dan buat sementara waktu mereka terpaksa bergantung kepada wang simpanan yang entah sampai bila dapat menanggung mereka. Semenjak itu, Sufina selalu ponteng sekolah dan aku dapat merasakan yang persahabatanku dengannya semakin renggang. Walaupun Sufina hadir ke sekolah, dia sudah jarang-jarang bersamaku.
Aku mengambil keputusan untuk menyiasat apakah punca sebenar persahabatan kami renggang. Setelah disiasat, aku dapati bahawa Amiralah yang selama ini menjadi gunting dalam lipatan. Rupa-rupanya dia sejak akhir-akhir ini sangat rapat dengan Sufina. Amira, bukan sahaja telah membusukkan namaku tetapi dia juga telah menghasut Sufina supaya jangan lagi berkawan denganku. Malah dia juga telah mengajak Sufina menganggotai kumpulan yang dipercayai dapat menolong Sufina melupakan masalahnya. Aku tidak tahu bagaimana Sufina boleh terpengaruh dengan pujukan Amira dengan begitu mudah sekali, padahal Sufina merupakan seorang yang sangat sukar untuk dipengaruhi. Mungkin kerana masalah yang dihadapinya itu yang membuatkannya tidak dapat berfikir dengan baik.
Pada suatu hari, ketika Sufina sedang bersendirian di dalam kelasnya. Aku telah
mengambil peluang itu untuk bercakap dengannya. Aku terangkan kepadanya satu persatu perubahan pada dirinya. Sufina sedar akan perubahan yang melanda dirinya. Dia menyesal dengan sikapnya yang mudah terpengaruh dengan Amira dan tidak tahu mengenang jasa orang yang selama ini telah banyak menolongnya. Dengan usaha gigih, secara perlahan-perlahan aku dapat membawa Sufina pulang ke pangkal jalan. Aku gembira kerana Sufina sudah tidak lagi seperti dulu. Sekarang dia seorang gadis yang periang dan tidak mudah putus asa. Malah sambil belajar, Sufina bekerja sambilan di pusat makanan segera untuk membantu datuknya. Aku selalu berdoa agar kehidupan Sufina bertambah baik dan dijauhi masalah-masalah yang berat.


Ketika Mentari Hilang Di Kaki Langit ...

Nun jauh di tengah lautan yang terbentang luas langit menampakkan garisan horizon yang memanjang dari timur ke barat seolah-olah tanpa penghujung dan pangkal. Garisan horizon tampak jelas ketika mendung di langit bergayut rendah bagaikan menutup lautan. Di bawah mendung kelabu itu, ombak bergulung-gulung memutih buih bagaikan lukisan di kanvas, memukul keras di pesisiran pantai, bergelombang laksana jiwaku yang bergelora. Angin petang menerobos kasar, menampar-nampar wajahku. Langit yang suram seolah-olah mengejekku, menambah kepiluan dan kekesalan yang mencengkam sanubari.
Ahhh...! Aku menjerit sekuat-kuat hati untuk meleraikan segala yang tersimpul di dada tetapi deruan ombak menenggelamkan suaraku. Ketenangan dan ketenteraman yang kucari di pantai ini tidak juga aku temui. Pantai ini penuh dengan lipatan sejarahku bersamanya, sewaktu bunga cinta mekar nan merah subur disirami kasih sayang. Di sini jugalah bermulanya detik-detik percintaanku. Keseimbangan emosiku mula tergugat. Aku cuba melenyapkan peristiwa yang masih terngiang-ngiang di benak fikiranku tetapi terasa amat sukar kerana sedu-sedannya masih lagi kedengaran.
Hari itu aku telah merancang untuk ke pusat membeli-belah bagi persiapan perkahwinan aku dan Syah yang akan berlangsung sepurnama lagi. Kegembiraan hatiku bukan kepalang dan di wajahku terpancar keriangan. Aku dapat bayangkan betapa indahnya masa depanku setelah bergelar isteri, seindah pelangi selepas. Penantian bagaikan satu penyiksaan. Aku menantikan detik-detik indah itu dengan penuh debaran.
Sambil menanti saat itu, aku menyingkap kembali tirai kenangan. Perkenalanku dengan Syah berputik sejak di bangku sekolah lagi. Syah dikenali sebagai 'Romeo' kerana wajahnya yang tampan dan juga sikap romantisnya apabila berdepan dengan perempuan. Ramai rakan-rakanku terpikat dengan Syah kerana karismanya kecuali aku. Aku tidak mudah tergoda dengan bicara manisnya. Kami sering bertengkar setiap kali bertentangan mata. Kami bagaikan anjing dengan kucing. Jika bersua muka tercetuslah perang dunia kedua. Jika dengan perempuan lain dia pandai mengambil hati, entah mengapa denganku dia sering membuatku marah dengan gurauannya yang menyakitkan hati. Selepas menduduki peperiksaan GGE 'O' kami telah meneruskan haluan masing-masing. Suatu hari aku telah terserempak dengan Syah di suatu pesta hari jadi. Sejak pertemuan di majlis itu bunga cinta di antara kami berdua mula mekar.
Setiba sahaja di Takashimaya, bibirku menyulam secebis senyuman. Di ruang mataku tergambar kemesraan yang bakal menjelma. Senyumanku semakin lebar apabila aku melihat gaun pengantin yang telah kutempah khas buat hari yang bersejarah itu telah siap untuk diambil. Ketika aku berada di Butik Tiffany tiba-tiba aku terpandang pasangan yang seakan-akan aku kenali.
Hatiku mula membara apabila aku terlihat Syah lalu di depan butik itu dengan ditemani oleh bekas kekasih lamanya, Ziana. Aku memerhatikan mereka dengan renungan yang tajam. Mereka kelihatan begitu mesra sekali. Kemarahanku bertukar menjadi cemburu.
"Syah! Tergamak kau menodai cinta kita. Penipu!
"Liza, harap bertenang. Biar Syah jelaskan."
"Liza tidak mahu dengar penjelasan Syah. Batalkan sahaja majlis persandingan kita. Batalkan! " aku berteriak sambil menahan air mata yang mengalir deras lalu berlari keluar.
"Liza...!" Syah cuba menjelaskan kedudukan perkara..
Bercinta itu mengasyikkan, merindu itu amat menyeksakan. Bersua secara kebetulan, berpisah kerana keadaan. Aku tidak mengendahkan panggilan Syah. Aku tidak mahu mendengar sebarang penjelasan darinya. Aku kecewa dan lemas dalam kecaian harapan dan impian. Aku melangkah keluar dari Takashimaya dengan kekuatan yang yang kupaksa. Butir-butir kaca mengalir dengan deras. Dalam pandangan yang berbalam melalui manik-manik jernih, aku melintas jalan raya tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Bunyi deruan kereta dan motosikal langsung tidak kuhiraukan.
Tiba-tiba aku terasa seseorang menepuk bahuku dan menolakku ke tepi jalan raya dengan kuat. Aku tersungkur ke tepi jalan raya. Rupa-rupanya Syah telah menyelamatkanku daripada kereta yang memecut laju. Akibatnya Syah telah dilanggar kereta kerana cuba menyelamatkanku.
Nun jauh di sudut jalan raya tubuh Syah terbujur kaku bermandikan darah. Percikan darah terdapat di mana-mana. Alam sekelilingku seolah-olah berpusing.
"Doktor! Bagaimana keadaan Syah, doktor?" tanyaku bertalu-talu. Air mataku mengalir tanpa berhenti.
"Bersabarlah Liza. Cuba bertenang," Ziana memujukku sambil memegang bahuku.
"Berambus kau Ziana! Pergi! " kataku sambil menepis tangannya.
"Aku tak mahu melihat muka kau! Perampas! Kau memang sengaja mahu merampas kebahagiaanku. Berambus kau dari sini!" aku menengking sambil mataku mengerling kepadanya.
"Liza, aku..." Ziana cuba merayu.
"Pergi!!!" kata Liza tanpa mendengar penjelasan Ziiana.
Ziana melangkah pergi dengan hati yang sayu. Aku tidak dapat menghalang air mata yang mengalir deras.
Aku memasuki bilik wad dengan penuh keharuan. Hatiku sebak melihat keadaan Syah yang bagaikan nyawa-nyawa ikan. Setitis butir mutiara gugur di pipiku. Aku menghampirinya. Syah hanya terdaya untuk mengukirkan senyuman. Dia memegang erat tanganku seolah-olah tidak mahu dilepaskannya
"Mengucap Syah, mengucap. Asy-hadu alla ilaha illallah. Wa'asy-hadu annna Muhamadar Rasullulah..." aku bisikan dua kalimah syahadat ke telinganya dengan suara tersekat-sekat.
Pernafasannya mula beransur perlahan dan akhirnya berhenti buat selama-lamanya. Aku menangis sekuat-kuat hatiku. Syah telah pergi menyahut seruan Illahi. Syah meninggalkanku terkapai-kapai untuk mencari kepastian.
Kini, tibalah masanya jenazah Syah dibawa ke Pusara Aman untuk diabadikan. Dengan perlahan-lahan jenazah itu diusung dengan diiringi sekalung doa dan ayat-ayat Allah s.w.t yang suci. Di saat jenazah itu dikebumikan aku bagaikan berada di puncak kehancuran. Ziana yang turut hadir mendakap tubuhku dengan erat. Aku membiarkan sahaja dia memelukku sambil aku berdoa ke hadrat Allah s.w.t agar roh Syah dicucuri rahmat dan semoga dia ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.
"Liza, aku tahu kau masih marahkan aku. Tapi, Syah tidak bersalah. Sebenarnya, pertemuan pada hari itu tidak dirancang. Kebetulan kami terserempak lalu Syah meminta bantuanku untuk memilih hadiah istimewa buatmu. Syah tidak berlaku curang Liza, percayalah. Lagipun aku sudah pun mempunyai calon suami. Azhar namanya. Liza, sebelum Syah pergi dia telah meninggalkan sepucuk surat dan sebuah bungkusan buatmu," kata Ziana sambil menghulurkannya kepada Liza.
Liza mengoyakkan mulut sampul surat kiriman Syah dan membaca kandungannya.

Liza, permata hatikuku.
Dalam kesyahduan malam, kuutuskan warkah ini buatmu. Maafkanlah Syah sekiranya perbuatan Syah telah menyinggung perasaan dan mengguris tangkai hatimu. Ketahuilah, hanya kau seorang sahaja yang bertakhta di hati ini. Antara Syah dan Ziana tiada hubungan apa-apa. Kebetulan kami terserempak secara tidak sengaja di pusat membeli-belah dan Zianalah yang telah membantu Syah memilih hadiah istimewa ini buat hari pernikahan Liza.
Ketika Liza menerima warkah ini mungkin Syah sudah tiada lagi di dunia ini. Syah akan pergi buat selama-lamanya. Andainya Syah sudah tiada lagi, janganlah ditangisi pemergian Syah. Iringilah pemergian Syah dengan doa restu.Taburilah pusara Syah dengan bunga sebagai tanda cinta Liza kepada Syah. Selamat tinggal sayang...

Yang Menyayangimu
Syah

Mutiara jernih mula bergenang di kelopak mata. Impianku untuk membina istana bahagia kini hanyut bersama titisan embun yang berguguran. Dengan linangan air mata, aku membuka bungkusan kiriman Syah. Di dalamnya ada sebuah kotak berbaldu biru. Kubuka perlahan untuk mengetahui isi kandungannya. Hatiku sebak apabila kulihat di dalamnya ada sebentuk cincin bertakhta manikam.
Ya Allah! Apa yang sudah aku lakukan? Ini semua salahku! Kalau tidak kerana sikap cemburu mungkin semua ini tidak akan terjadi. Kekesalan yang bersarang di kalbuku kini tidak ada gunanya. Nasi sudah pun menjadi bubur. Yang pergi tidak akan kembali lagi.
Dentuman guruh yang kuat mengalihkan pandanganku ke alam nyata, membiarkan lamunanku tergantung tanpa bertali. Titis demi setitis air mata membasahi pipiku. Kini baru aku sedar ratu suria telah tergelincir dari persemayamnya di puncak langit. Hujan semakin turun dengan lebatnya disertai guruh dan petir yang mencakar langit. Namun aku masih tidak berganjak dari pusara Syah yang masih merah. Aku masih menyalahkan diriku di atas apa yang berlaku. Harapanku hanya tinggal impian. Angan-anganku tidak kesampaian. Syah, kau pergi bersama cintaku. Maafkan aku Syah, maafkan aku...

Allahyarham Syah
Warkahmu yang sekerat telah kuterima setelah kau tiada lagi di dunia. Betapa pilunya hatiku dan remuknya jiwaku melihat jenazahmu diusung ke tanah perkuburan ketika mentari hilang di kaki langit. Senjanya kau datang membawa hadiah untukku, dan subuhnya kau pergi, pergi yang tak kembali.
Kutulis lembaran ini bagi menjawab bingkisanmu yang kau kiirimkan. Pilunya hatiku bila menatap cincin berlian pemberian Syah sebagai lambang keagungan cintanya. Syah, walaupun kau telah pergi, cintaku terhadapmu tetap bersemadi. Semoga rohmu berada di dalam golongan orang-orang yang saleh. Amin, amin Ya Rabbil Alamin.

Dari kekasihmu yang kecewa
Liza

Misteri Permaidani

Bunyi cengkerik kedengaran bersahut-sahutan. Pada malam itu, angin bertiupan sepoi-sepoi bahasa. Suasananya sungguh sayup. Samad, seorang pekerja pembersih permaidani, tiba di sebuah banglo pada pukul sembilan malam. Pengurusnya telah menyuruhnya ke sana. Samad ke sana dengan seorang pemandu van berbangsa Cina. Kondominium itu kelihatan baru dan mewah. Samad mengambil barang-barang yang diperlukan lalu menuju ke arah rumah itu.
Sesampai sahaja di depan pintu, Samad menekan butang loceng pintu. Seorang wanita Cina yang cantik membuka pintu. Wanita itu ialah Puan Lim. Puan Lim menjemput Samad masuk ke dalam rumahnya. Banglo Puan Lim dua tingkat. Semua bilik tidur di tingkat atas. Puan Lim menunjukkan permaidaninya yang harus dibersihkan oleh Samad. Ada bekas darah di atas permaidani itu.
Puan Lim berkata kepada Samad dengan suara yang sedih, “Sebenarnya anjing saya mati di situ. Pembantu rumah saya yang dahulu sangat jahat. Anjing saya cuba menggigit pembantu rumah itu kerana dia telah mencuri duit saya. Malangnya, pembantu rumah itu menendang anjing saya lalu anjing saya terjatuh dari tangga itu. Dia telah membunuh anjing saya. Ini bekas darahnya!”
Samad mengatakan bahawa dia akan membersihkan permaidani itu dengan segera. Samad terpaksa membuat kerja sendirian kerana rakan pembantunya sakit pada hari itu. Pemandu van hanya menunggu di van sahaja. Samad mula menuang sedikit kimia ke atas permaidani itu dan menghidupkan mesinnya. Selepas beberapa jam, Samad berasa sungguh letih. Bekas-bekas darah itu telah hilang seluruhnya. Dia berasa sungguh puas. Semasa dia sedang mengemas barang-barangnya, dia melihat sekali lagi permaidani itu. Alangkah terperanjatnya dia apabila didapati bekas darah itu masih ada. Malah, ia kelihatan lebih merah dan basah.Samad tidak percaya apa yang dilihatnya. Samad terhidu bau darah itu. Dia menghidupkan mesinnya semula dan menuang lebih banyak kimia di atas permaidani itu. Kali ini, Samad menggosok bekas darah itu dengan kuat. Akhinya bersih juga permaidani itu.
Sedang Samad mengemas barangnya, sekali lagi bekas darah itu keluar semula. Kali ini lebih banyak, memenuhi hampir separuh permaidani itu. Samad terdengar suara jeritan di bawah permaidani itu. Hati Samad berdegap-degup. Dia kuatkan semangatnya lalu cuba mendekati permaidani itu. Tiba-tiba, terpantul wajah seorang wanita di tengah-tengah permaidani itu. Wanita itu ialah pembantu rumah Puan Lim.
“Mengapa kau mencuci darah aku? Akulah yang menjadi mangsa. Puan Lim dan suaminya memukul aku dan menendang aku sehingga aku terjatuh dari tangga itu, lalu mati,” kata suara wanita itu.
Hati Samad tergerak untuk melihat tangga rumah itu. Di atas kelihatan Puan Lim sedang menuruni tangga itu dengan memegang sebilah pisau. Dengan pantas, Samad menarik mesinnya lalu terus meluru keluar dari banglo itu. Dia berlari menuju ke van dan menyuruh pemandu vannya pergi dari tempat itu segera. Samad cuba menceritakan kejadian itu kepada pemandu van dan pengurusnya. Malangnya, tiada sesiapa yang ingin mempercayainya. Menurut mereka, dalam zaman moden dan canggih hari ini, tiada hantu. Mereka juga sering menggiat Samad dan memanggilnya ‘Hantu permaidani’. Apa yang berlaku kepada Samad masih lagi menjadi tanda tanya. Misteri itu tersimpan di ingatan Samad setiap kali dia membersihkan permaidani di rumah-rumah besar dan mewah.


Nasi Sudah Menjadi Bubur

Sebagai seorang remaja, aku inginkan kebebasan hidup. Aku sering merajuk sekiranya kemahuanku untuk bergaul bebas dengan rakan-rakanku dihalang.
Pada suatu hari, apabila ibu bapaku tiada di rumah, aku telah mengambil kesempatan untuk keluar tanpa pengetahuan mereka. Aku terdesak untuk keluar kerana hari itu adalah hari lahir teman baikku, Izah. Izah menyambut hari lahirnya di pantai East Coast. Ramai rakan-rakan yang hadir. Pelbagai aktiviti telah diaturkan. Aku sungguh gembira kerana aku bebas dari kongkongan ibu bapaku. Selepas penat bermandi-manda di laut, kami pun berehat sambil menjamu hidangan yang telah disediakan.
Tiba-tiba, seorang jejaka yang sungguh tampan dan segak menghampiriku.
“Hai, boleh kita berkenalan?” tanya jejaka itu.
“Boleh. Siapa nama saudara?” aku membalas.
“Saya Andy. Boleh kita bertukar nombor telefon?” tanya jejaka itu lagi.
“Saya Farah. Ini nombor telefon saya,” jawabku dengan pantas, sambil memberinya sekeping kertas yang tertulis nombor telefon bimbitku.
Sejak pertemuan itu, kami kerap berbual di telefon dan sering keluar bersama-sama. Setiap kali aku keluar bersama Andy, aku telah membohongi ibu bapaku dengan memberi alasan bahawa aku ingin ke perpustakaan atau membuat projek bersama rakan sekolah. Andy adalah seorang remaja yang liar. Dia merokok dan badannya penuh dihiasi dengan tatu. Setiap detik yang aku luangkan untuk bersama Andy dan rakan-rakannya, membuat aku berasa bebas, seperti dunia ini aku yang punya. Lama-kelamaan, aku telah mempelajari tabiat-tabiat buruk Andy dan rakan-rakannya. Aku mula merokok, mencuri dan membuat tatu di lenganku.
Ibu bapaku tidak menyedari akan perbuatan dan perubahanku. Setiap kali aku menjejakkan kakiku di rumah, saat itulah aku akan menyarungkan topeng baikku. Kadang-kadang aku rasa seperti ingin mendapat ‘lesen merokok’ di rumah kerana aku akan berasa janggal bila tidak merokok. Ibu dan ayah sentiasa sibuk dengan kerja pejabat serta aktiviti mereka. Kami hanya bertemu pada waktu malam sahaja. Pada suatu petang Ahad, semasa ibu sedang mengemas bilikku, dia telah terjumpa sebuah kotak rokok yang masih berisi.

“Farah! Kenapa ada rokok di dalam bilik kau ni?” teriak ibuku.
“Err...Farah tidak hisap rokok, bu. Ini kepunyaan kawan Farah. Dia terletak di dalam beg Farah,” jawabku dengan nada ketakutan.
“Baik. Kalau ini kepunyaan kawan kau, telefon dia sekarang. Ibu hendak bercakap dengan dia,” balas ibuku dengan marah.

Mendengar kata-kata ibuku itu, aku mula cemas kerana sememangnya rokok itu kepunyaanku. Pada saat-saat yang mencemaskan itu, aku terpaksa mengaku dan memberitahu ibu perkara yang sebenarnya. Ibu terperanjat lalu memanggil bapaku. Macam hendak putus telingaku dileteri oleh kedua ibu bapaku. Bapaku hampir menampar mukaku, mujur ibu menghalangnya. Akhirnya, mereka meminta penjelasan dariku dan mendengar cerita bagaimana aku berkenalan dengan Andy. Aku juga memberitahu mereka bahawa sebenarnya, mulai semalam aku telah digantung dari sekolah selama 3 hari kerana telah tertangkap menghisap rokok di tandas. Pihak sekolah telah beberapa kali cuba menghubungi ibu bapaku, tetapi mereka tidak berjaya kerana aku sering mengatakan bahawa aku tidak tahu nombor telefon bimbit ibu dan bapaku. Bapa naik radang. Matanya bulat bagai bebola api. Pandangannya kepada aku tajam sekali. Dapat aku rasakan bahang kemarahannya. Dia memberitahu ibu bahawa dia akan ke sekolah untuk berjumpa pengetua dan guruku pada keesokan harinya.
Aku lihat wajah ibu. Air matanya mula mengalir dan dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Ibu seakan-akan sudah berputus harap terhadap diriku. Aku tidak tahan melihat keadaan mereka. Aku juga mula menangis dan meminta maaf kepada mereka. Bapaku memberi aku amaran dan peringatan yang keras. Aku tidak lagi dibenarkan keluar tanpa izin mereka. Aku juga harus pulang terus ke rumah selepas sekolah. Bapaku menyuruh ibu berhenti kerja agar ibu dapat mengawasi aku. Khidmat telefon bimbitku juga akan dihentikan. Aku hanya boleh mengikuti kegiatan sekolah jika ada surat rasmi dari pihak sekolah atau guru. Nampaknya, bapaku benar-benar hilang kepercayaan terhadap diriku.
Sejak hari itu, aku membuat keputusan untuk meninggalkan tabiat-tabiat burukku. Aku pun sudah tidak bergaul dengan Andy dan rakan-rakannya lagi. Kebebasan yang aku inginkan rupanya hanya merosakkan diriku sahaja. Akibat mencari kebebasan, aku kini dikawal dengan lebih ketat lagi. Aku menyesal kerana terlalu mudah mengikut ajakan kawan dan tidak memikirkan akibat tindakanku. Tetapi, bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Aku insaf dan berharap dapat diberi peluang untuk kembali ke sekolah semula. Aku bertekad membuktikan kepada ibu dan bapaku yang aku boleh mengubah tabiatku dan berjaya dalam pelajaranku. Minggu hadapan aku akan menjalani rawatan laser bagi menghilangkan tatu di lenganku. Moga-moga dengan hilangnya tatu itu nanti, hilanglah juga detik-detik hitam yang telah aku lalui. Namun yang pasti, bekas rawatan tatu itu akan sentiasa mengingatkan aku akan kesilapanku itu.

Jodoh


Benar sungguh kata orang-orang tua dahulu, kalau kita dalam dilemma, rasanya seperti ‘dimakan mati anak, dibuang mati bapa’. Aku tidak sangka akan berhadapan dengan keadaan yang sedemikian. Aku pasrah. Aku seorang gadis yang memiliki segalanya sebelum peristiwa itu berlaku. Aku dibesarkan dengan kemewahan dan kesenangan, mungkin kerana aku anak tunggal. Tidakku sangka, begini jadinya.
Aku telah menamatkan pengajian di universiti lapan tahun yang lalu. Aku bekerja sebagai pereka fesyen kerana minatku dalam bidang itu amat mendalam. Gajiku pula amat lumayan dan aku berasa puas dengan apa yang aku kecapi sendiri. Tetapi, hidupku masih dalam kesunyian.
Salah seorang temanku memperkenalkanku kepada seorang jejaka yang sangat tampan. Jejaka itu bernama Ashraf. Dia memiliki ciri-ciri lelaki yang aku idami. Setelah beberapa lama kami berkenalan bibit-bibit cinta mula berputik. Hubungan kami bertambah mesra dan kami bagaikan belangkas yang tidak dapat dipisahkan. Ashraf akhirnya ingin bertemu dengan ibu bapaku. Aku begitu gembira dan memberitahu ibu dan bapaku berkenaan Ashraf. Mereka turut gembira dengan berita itu.
Kedatangan Ashraf pada hari itu disambut dengan begitu mesra. Ibu dan bapaku begitu tertarik dengan keramahan Ashraf serta sikap sopannya. Aku bersyukur kerana mereka dapat menerima Ashraf dan segalanya berjalan dengan lancar. Setelah makan tengah hari kami pun bersembang-sembang dan ibu bapaku mula bertanyakan Ashraf tentang keluarganya. Suasana mula terasa tegang apabila mereka mendapat tahu bahawa bapa Ashraf rupanya Encik Hamid, seorang peniaga yang berjaya.
Selepas pertemuan Ashraf dengan ibu bapaku, ayahku selalu duduk termenung sementara ibu asyik berkurung di biliknya. Aku tidak tahu apa yang telah terjadi. Yang aku tahu, ia pasti kena-mengena dengan Ashraf. Aku sudah tidak tahan dengan tingkah-laku mereka. Aku duduk bersama mereka lalu bertanyakan apakah masalahnya.
“Ayah tidak suka kamu berkawan dengan Ashraf. Putuskan hubungan kamu berdua!!!”
Aku tersentak mendengar kata-kata ayah. Aku melihat ke arah ibuku dengan harapan dia membantah keputusan ayah, tetapi ibu hanya berdiam diri.
“Tetapi kenapa ayah, kenapa? Apakah salah Ashraf?” aku berkata dalam sedu-sedanku. Air mata jernih berlinang jatuh membasahi pipiku. Aku inginkan alasan yang munasabah yang mungkin dapat aku pertimbangkan. Ayah menghela nafas panjang lalu menceritakan kisah di sebalik keputusannya itu.
Tiga puluh tahun yang lalu, ibuku merupakan wanita pujaan ramai jejaka dan ayah Ashraf adalah salah seorang di antaranya. Dia telah meminang ibuku tetapi ibuku pula telah menolak lamarannnya. Mungkin kerana geram dan malu, dia membalas dendam. Dia memperkosa ibuku pada malam hari jadinya. Pada masa itu, ibu belum lagi berkenalan dengan ayahku. Ibuku mengandung. Dengan sokongan keluarga, ibu menggugurkan kandungannya.

Ayahku mengetahui kejadian ini daripada ibuku. Sebelum ibu bersetuju untuk mengahwini ayah, dia menceritakan kisah pahitnya kerana dia tidak mahu dituduh sebagai seorang pendusta. Ayahku amat marah dengan perbuatan ayah Ashraf dan dia mahu membalas dendam. Ibuku melarang… dia mahu meninggalkan kenangan pahit itu. Pada saat itu, ayahku berjanji pada ibu untuk membahagiakannya dan tidak akan menjalinkan sebarang hubungan dengan keluarga ayah Ashraf.

Aku masih ingat peristiwa itu hingga sekarang. Aku turuti kehendak kedua ibu bapaku dan memutuskan hubungan aku dengan Ashraf. Kini aku kembali sunyi. Masih aku teringat kata-kata akhir yang diucapkan oleh Ashraf,”Kalau jodoh, takkan ke mana….” Tanpaku sedari, air mata bercucuran jatuh ke pipi.


Berakhirnya Satu Dendam


Rozana tergesa-gesa memakai baju yang baru dibelinya semalam. Walaupun baju yang berwarna biru itu tidak menutup auratnya sebagai seorang wanita mukmin, namun itulah cara hidupnya. Rozana telah terlewat untuk berjumpa dengan seorang usahawan yang sudah berumur separuh abad tetapi koceknya penuh dengan wang. Sekali lagi, Rozana akan menipu seorang lelaki dengan berpura-pura mencintainya tetapi apa yang menjadi matlamatnya semata-mata wang.
Sejak Rozana berpindah ke kota beberapa tahun yang lalu, hidupnya mula bergelumang dengan dosa. Sampai sahaja di kota itu segala ajaran dan kewajipan agama telah dicampakkannya jauh-jauh. Daripada seorang gadis yang pemalu dan taat beragama dia menjadi seorang yang berani dan sanggup menanggalkan tudung yang selalu dipakainya. Seolah-olah dia telah bertukar menjadi pemeluk agama lain.
Sebenarnya, Rozana telah banyak menderita disebabkan perbuatan bapa tirinya yang kejam. Bapa tirinya selalu sahaja memukul ibunya dan Rozana sendiri. Bapa tirinya tidak berhati perut dan sangat pemalas, sepanjang hari hanya duduk di rumah tidak mahu keluar bekerja. Sejak pengalaman pahit itu, Rozana mula menaruh perasaan benci terhadap setiap kaum Adam. Perasaan benci itu semakin berada di kemuncaknya apabila ibunya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah dibantai dengan kejamnya oleh bapa tirinya. Sehingga kini, ibunya masih lagi terbaring di hospital. Ibunya sudah tidak kenal orang lagi.
Semenjak peristiwa itu Rozana tidak berani duduk di rumah. Dia takut kalau-kalau bapa tirinya akan melakukan sesuatu yang tidak diingini. Rozana telah bertekad untuk mencuba nasibnya di kota.
Walaupun Rozana mempunyai kelulusan untuk mendapat pekerjaan yang sesuai tetapi Rozana lebih senang bekerja di kelab-kelab malam untuk melayani lelaki yang kaya -raya serta dapat memberi dia kemewahan hidup. Dia hanya pandai mempermain-mainkan perasaan lelaki yang cuba mendekatinya, antaranya Datuk Irsyad yang sudah lanjut usia tetapi masih mahu menggatal. Walaupun Rozanah geli melihat telatahnya, namun dia melayaninya dengan begitu manja untuk mengikis wang si tua keladi itu.
Begitulah kehidupan yang dilalui Rozana. Hatinya tidak pernah terbuka untuk mencintai seseorang lelaki. Perasaan benci dan dendamnya terhadap kaum lelaki dibawanya ke mana-mana dia pergi.
Pada suatu hari Rozana teringat untuk pulang ke kampung melawat ibunya di hospital. Dia ingin bertemu ibunya untuk mengetahui perkembangan kesihatannya. Seperti biasa apabila dia tiba di wad ibunya, dia melangkah perlahan-lahan ke katil ibunya untuk mengetahui sama ada ibunya sudah sedar atau pulih daripada sakitnya. Tetapi pada hari itu, langkahnya terhenti apabila Rozana dapati di bilik ibunya ada seorang doktor muda sedang merawat ibunya. Doktor muda itu mula merasakan kehadiran seorang pelawat lalu mengalihkan pandangan matanya ke arah Rozana.
Rozana dapat merasakan degupan jantungnya yang kuat. Lidahnya kelu tidak dapat mengeluarkan sepatah perkataan. Matanya terpukau dengan ketampanan doktor muda itu. Doktor muda itu tersenyum menampakkan lesung pipit di pipinya. Rozana ingin membalas senyuman itu tetapi tiba-tiba timbul kebenciannya terhadap lelaki. Dia hanya membalas senyuman itu dengan jelingan yang tajam.
“Adakah saudari anak makcik Siti?” doktor muda itu segera bertanya Rozana.
“Ya, saya Rozana. Terima kasih kerana merawat ibu saya. Doktor baru bertugas di sini?” Rozana berkata tanpa memandang doktor itu.
“Ya, saya , Borhan baru berkhidmat di hospital ini dan ditugaskan untuk merawat ibu saudari,” kata doktor muda itu.
Sejak pertemuan yang tidak disangka-sangka itu, Dr Borhan mula menaruh hati kepada Rozanam, gadis yang sunggguh anggun. Kedatangan Rozana untuk melawat ibunya sentiasa disambut dengan mesra oleh Dr Borhan. Pernah Dr Borhan mempelawa Rozana makan tengah hari dengannya tetapi ditolak dengan baik oleh Rozana.
Rozana pula merasakan perasaan yang sama, cuma egonya masih kuat membeku. Di samping itu Rozana tidak lagi bekerja di kelab malam. Dia telah bekerja di sebuah syarikat. Dia mula menukar keterampilannya. Dengan bimbingan Dr Borhan yang ikhlas, Rozana telah menukar cara pakaiannya.

Dr Borhan telah membuka hatinya yang tertutup selama ini kepada kaum lelaki. Rozana memandang ke luar jendela dan mengenangkan nasibnya yang selama ini bergelumang dengan dosa. Kini dia telah bertemu seorang pemuda pujaan hatinya, Dr Borhan juga telah menyatakan hasratnya pada suatu petang untuk mengambilnya sebagai isterinya.
Rozana menghela nafasnya yang panjang. Sekali lagi dia memandang ke luar jendela. Dunia di luar itu lapang dan berwarna-warni. Dia mulai insaf. Dia tahu jalan mana yang harus dipilihnya dan telah memutuskan apa yang harus dibuatnya.


Kasih Ibu

Entah mengapa hatiku tidak tenteram. Aku rasa seperti ada yang tidak kena pada pagi itu. Namun begitu aku teruskan juga niatku ingin pergi ke sekolah. Hatiku berdebar-debar. Semakin jauh aku melangkah,semakin resah aku rasakan. Walaupun begitu, aku teruskan juga perjalananku ke sekolah dengan hati yang berat.
Wajah ibu yang pucat dan lesu sering terbayang-bayang di benak fikiranku. Aku bimbang akan keselamatannya. Ibuku telah disahkan mengidap penyakit barah. Peluangnya untuk hidup amatlah tipis. Keluargaku telah berusaha sedaya-upaya untuk mengubati penyakitnya tetapi semuanya tidak berjaya.
Hari demi hari, penyakitnya bertambah parah. Kos rawatan yang diperlukan untuk menjalani pembedahan amatlah tinggi. Aku pasrah. Aku sering tertanya-tanya, “Mengapakah ini semua terjadi? Apakah dosaku sehingga aku diseksa sebegini rupa? Adakah ini yang dikatakan takdir?” Aku tidak dapat memberi tumpuan pada guru mahupun pelajaranku. Apa yang aku risaukan ialah tentang ibuku yang sakit di rumah. Entah mengapa aku rasa seperti ada yang tidak kena. Aku seperti orang yang hilang akal. Ke mana sahaja aku memandang, terbayang wajah ibuku.
Tepat pukul dua petang. Loceng pun berbunyi. Tanpa membuang masa, aku pun mencapai beg sekolah dan terus pulang ke rumah. Tiba di rumah, aku dapati jiran tetangga dan sanak saudara berada di rumah. Mereka kelihatan sugul. Langkah demi langkah aku menuju ke arah pintu. “Farhana, ibumu sudah tiada lagi, nak. Bersabarlah,” kata ayahku sambil mengesat air matanya.
Aku terkedu mendengar kata-kata ayah. Tanpa kusedari, butiran mutiara mengalir sayu. Sebak dan pilu hatiku ibarat dicucuk sembilu. Aku terkilan kerana tidak dapat hadir pada saat-saat terakhir ibuku menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Walaupun ibu sudah kembali ke rahmatullah, kenangan manis bersamanya akan kekal dalam sanubariku. Aku sedar sesungguhnya, ibu adalah syurga bagiku. Dialah segala-galanya.
“Ibu, aku rindu padamu. Aku kesal kerana tidak dapat berjasa kepadamu. Ya Tuhan, letakkanlah ibuku di samping orang-orang yang beriman. Sesungguhnya dia seorang insan yang mulia. Amin.”


Memori Rindu
Karim termenung setelah membaca warkah daripada Hartini. Fikirannya melayang jauh mengimbas kenangan silam. Ternyata dia amat merindui Hartini. Kini, Hartini sudah tiada lagi di sisinya, yang tinggal hanyalah surat-surat cinta dan sekeping potret mereka bersama-sama suatu ketika dahulu. Longgokan surat dan sekeping gambar itu sahajalah pengubat rindunya terhadap Hartini. Janji cinta abadi yang mereka ikatkan hanya tinggal mimpi kosong.
Sebelum Hartini meninggalkan kampung halaman, dia telah berjanji kepadanya bahawa satu hari nanti dia pasti akan pulang dengan kejayaan yang bisa menceriakan masa depan mereka.
Hartini akan melanjutkan pelajarannya di Singapura selama dua tahun. Dia berjanji akan mengirim surat kepadanya setiap bulan agar percintaan mereka tetap kukuh walaupun berjauhan. Berat sungguh hati Karim untuk melepaskan Hartini pergi, tetapi dia tidak membantah kerana dia sedar ini untuk masa depan Hartini juga. Dia merelakan Hartini pergi. Dia berdoa semoga Hartini selamat di negeri orang. Sesungguhnya, perpisahan ini akan menguatkan bentang percintaan mereka.
Enam bulan sudah berlalu, Hartini hanya mengirimkan dua pucuk surat sahaja. Hartini mula tidak menepati janjinya. Karim begitu resah sekali. Surat kiriman Hartini hanya diterima pada empat bulan yang pertama sahaja. Setelah itu, tiada lagi berita daripadanya. Hanya desiran angin lalu yang sepi.
Dalam surat yang terakhir, Hartini menyatakan rasa rindunya yang teramat sangat terhadap Karim dan betapa dia mengharapkan akan kehadiran Karim mendampinginya. Karim begitu ceria mendengar kata-kata Hartini. Sungguh romantis. Oh! Betapa rindunya dia terhadap Hartini.
Namun, hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun. Sudah setahun lamanya Hartini tidak mengirimkan khabar kepadanya. Sudah berpuluh-puluh surat dilayangkan oleh Karim kepadanya, namun suratnya tidak terbalas. Hartini hanya menyepi. Membisu tanpa berita. Ini membuatkan Karim bertambah gusar. Karim banyak mendiamkan diri.
Apakah yang telah terjadi kepada Hartini? Apakah dia terlalu sibuk dengan pelajarannya sehingga setahun lamanya tidak mengirimkanku berita? Dia sudah melupakanku? Dia sudah mendapat pengganti di sana? Berbagai-bagai persoalan bermain dalam kotak mindanya. Fikirannya kabut. Hati dan perasaannya dilanda resah-gelisah. Persoalan-persoalan yang berserabut dan tidak terjawab membuatkan dia hampir gila.
Akhirnya surat daripada Hartini tiba lagi. Betapa gembira rasanya bukan kepalang sekali apabila membaca warkah daripada Hartini, kekasihnya. Sebak di dada hanya tuhan sahaja yang tahu. Sanggup Hartini berubah hati dalam masa yang begitu singkat. Begitu tipis cintanya terhadap Karim. Hartini kini sudah mempunyai teman lelaki baru di negara orang. Dirinya sudah dipinggirkan oleh Hartini.
Kini segalanya telah berlalu. Kenangan mereka bersama suatu ketika dahulu akan sentiasa dalam ingatannya. Walaupun hati masih terguris, dia masih tetap merindui Hartini. Biarlah Hartini bergembira di sisi kekasih barunya. Surat-surat cinta mereka dan gambar mereka bersama akan menjadi memori rindu. Demi kebahagian Hartini, dia rela mengalah.